Bukan Berita Online Biasa

Polis Putrajaya Tubuh Pasukan Khas Tangani Kes Rompak

in Terkini

PUTRAJAYA – Polis Putrajaya menubuhkan tiga pasukan khas bagi membuat serbuan selain meningkatkan rondaan dalam usaha menangani kejadian rompakan di sekitar pusat pentadbiran kerajaan itu.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Rosly Hassan berkata setiap pasukan yang terdiri daripada dua anggota diwujudkan dengan fokus diberikan kepada kawasan perumahan di Presint 10 dan Presint 15 yang menjadi tumpuan perompak sejak akhir-akhir ini.

“Kawasan ini jadi tumpuan sebab dekat dengan hutan dan bukit jadi mudah untuk mereka melarikan diri selepas merompak,” katanya kepada pemberita selepas pertandingan menembak IPD Putrajaya bersama komuniti dan media, di sini hari ini.

Terbaharu, sepasang suami isteri berdepan detik cemas kira-kira 40 minit apabila kediaman mereka di Presint 15, dimasuki empat perompak bertopeng dan bersenjatakan pisau, awal pagi dua hari lepas.

Menurut mangsa suspek melarikan wang tunai RM3,000, barang kemas, beberapa jam tangan berjenama dan empat telefon bimbit dengan kerugian dianggarkan berjumlah RM15,000.


Rosly berkata polis Putrajaya masih lagi memburu suspek kes berkenaan dan mereka juga dipercayai aktif melakukan rompakan di kawasan lain antaranya Kuala Lumpur, Kajang dan Bangi.

Selain pemantauan polis, beliau turut menasihatkan penduduk untuk mengamalkan langkah-langkah keselamatan antaranya dengan memastikan semua pintu rumah berkunci dengan baik.

“Anggota kami pernah mengetuk pintu sebuah rumah pada pukul 3.30 pagi kerana penghuni membiarkan pintu berjeriji terbuka dan ini berbahaya kerana memudahkan perompak untuk masuk,” katanya.

Mengenai pertandingan menembak itu, Rosly berkata ia diadakan bertujuan mengeratkan kerjasama polis dengan wakil-wakil komuniti Putrajaya dan media, melibatkan 70 peserta.

Wartawan Bernama Rosmalis Anuar dan jurugambar Harry Salzman Abu Bakar masing-masing menang tempat kedua dan ketiga kategori media, manakala juara milik wartawan Kosmo! Mohd Turmadzi Madun. – BERNAMA

Terkini dari Terkini

Go to Top